Selain Mobile Legends Bang Bang, satu lagi permainan multiplayer online battle arena (MOBA) yang popular dalam kalangan pemain telefon pintar adalah Honor of Kings. Honor of Kings pernah dijenamakan sebagai Arena of Valor beberapa tahun lalu tetapi TiMi Studio Group akhirnya telah melancarkan versi ini secara global.
Honor of Kings kini tersedia untuk dimuat turun dalam stor aplikasi Apple dan Gedung Google Play di seluruh Malaysia dan seluruh Asia Tenggara, Jepun, Korea, Amerika Latin, Amerika Utara serta Eropah. Untuk permulaan, TiMi Studio Group dan Level Infinite mengeluarkan kesemua 85 hero termasuk hero yang baru ditambah iaitu Sun Ce.
Di samping itu, pemain juga berpeluang untuk membuka sehingga 28 Wira dan 21 skin secara percuma hanya dengan memenuhi aktiviti dalam permainan tertentu. Beratus-ratus skin akan dilancarkan dan akan berkembang dalam beberapa bulan akan datang bersama-sama dengan acara dalam permainan termasuk kerjasama dengan jenama serta selebriti global.
Bermula pada 29 Jun, 13 pasukan dari Asia Tenggara, Brazil, Türkiye, MENA, LATAM dan Eropah Barat akan datang ke Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur untuk bersaing dalam Kejohanan Honor of Kings Invitational Musim 2 dengan hadiah terkumpul mencecah $300,000 (~RM1.41 juta).
Terdapat lapan slot yang dijamin untuk Honor of Kings Invitational Midseason yang akan menjadi sebahagian daripada Piala Dunia Esports. Honor of Kings Invitational Midseason akan menampilkan 12 pasukan terbaik di seluruh dunia untuk bertarung untuk mendapatkan jumlah hadiah sebanyak $3,000,000 (~RM14.13 juta).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan permainan baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

