Site icon TechNave BM

HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula RM1,499

HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci dengan Paparan Keselesaan Mata beresolusi 2.5K, kadar segar semula 120Hz dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 88 peratus.

Untuk mengekalkan pengalaman tontonan yang selesa dan tidak menyakitkan mata, tablet ini mempunyai Pemalapan Dinamik, Paparan Malam Sirkadia, pancaran Cahaya Biru Rendah dan Bebas Kerlipan yang diiktiraf oleh TÜV Rheinland.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1, storan dalaman 256GB serta bateri besar 8,300mAh. Ia juga mempunyai lapan pembesar suara untuk pengalaman audio yang lantang dan menyeluruh sewaktu menonton video.

HONOR Pad 9 5G akan dijual dalam warna Space Gray pada harga RM1,499 untuk versi Wi-Fi dan RM1,799 untuk versi Wi-Fi+5G. Setiap pembelian akan disertakan dengan papan kekunci HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard (bernilai RM698) dan stilus pintar HONOR CHOICE Pencil.

Anda juga boleh membuat bayaran ansuran RM37 sebulan dengan pelan pascabayar Maxis Postpaid 79, atau RM1 sebulan dengan pelan CelcomDigi Postpaid 5G 260. Perlu diingati bahawa jika anda membeli Pad 9 menerusi mana-mana pelan telko ini, anda hanya akan menerima Smart Bluetooth Keyboard sebagai hadiah percuma.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version