Site icon TechNave BM

HONOR Pad 9 dilancar – Tablet 12.1 inci dengan Snapdragon 6 Gen 1 bermula ~RM1,810

Dalam acara Mobile World Congress (MWC) 2024 yang sedang berlangsung di Barcelona, Sepanyol sekarang, HONOR telah melancarkan tablet baharu iaitu HONOR Pad 9. Ia merupakan tablet kelas pertengahan yang dikhaskan untuk hiburan pengguna.

Ia menampilkan skrin berukuran 12.1 inci FullView Display dengan kadar segar semula 120Hz, resolusi 2560×1600 (2.5K), dan gamut yang boleh menjana 1.07 bilion warna. Untuk penjanaan audio, ia mempunyai lapan pembesar suara bagi menghasilkan kualiti audio yang lebih menyeluruh.

Jika anda menggunakannya untuk menyertai panggilan video, tablet ini mempunyai fungsi pembatalan hingar yang memudahkan anda untuk bercakap dengan jelas, walaupun dalam suasana yang agak bising.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1, RAM 8GB yang boleh dibesarkan lagi dengan RAM maya sebanyak 8GB, storan dalaman 256GB, bateri 8,300mAh dan pengecasan pantas 35W. Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 13MP dan kamera hadapan 8MP. Sistem operasinya adalah Android 14 dengan antara muka MagicOS 7.2.

HONOR Pad 9 akan dijual di Eropah pada harga EUR349 (~RM1,810) namun setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version