Selain melancarkan siri telefon pintar andalan HONOR Magic8 di China, HONOR turut menunjukkan video pendek untuk sebuah telefon konsep iaitu HONOR Robot Phone.
Telefon ini mempunyai satu ciri yang sangat unik iaitu sebuah kamera yang diletakkan pada gimbal di bahagian atas telefon. Ia nampak serupa dengan gimbal pada DJI Osmo Pocket 3 dan pasti menawarkan yang rakaman video yang sangat stabil.
Gimbal ini boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam ruang khas pada bonggol kameranya. Apabila ia dilipat, lensanya masih dihadapkan ke bahagian belakang telefon supaya ia boleh digunakan seperti kamera pada telefon biasa.
HONOR merancang untuk menjadikan Robot Phone sebagai sebuah peranti yang lebih daripada sekadar telefon, iaitu sebuah teman digital yang memahami pengguna sepenuhnya.
Selain daripada sebuah video pendek yang menunjukkan rekaan dan fungsi telefon ini, HONOR masih belum berkongsi sebarang maklumat mengenainya. HONOR mengatakan mereka akan mengumumkan lebih lanjut mengenainya dalam acara Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona, Sepanyol.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

