Site icon TechNave BM

HONOR Power 2 hadir dengan bateri 10,080mAh, bakal dilancar 5 Januari ini

HONOR akhirnya mengesahkan tarikh pelancaran rasmi bagi model terbaharunya iaitu Power 2 dan turut mendedahkan rekaan belakang serta pilihan warna yang bakal ditawarkan. Peranti ini dijangka bakal mencetuskan fenomena kerana dilengkapi dengan bateri berkapasiti gergasi sebesar 10,080mAh.

Melalui perkongsian di Weibo, HONOR memaklumkan bahawa Power 2 akan membuat kemunculan sulung di China pada 5 Januari depan. Rekaan belakang telefon ini kelihatan mirip dengan iPhone 17 Pro terutamanya pada modul kamera segi empat tepat yang melintang dengan tiga lensa kamera.

HONOR Power 2 akan tersedia dalam tiga pilihan warna seperti Rising Sun (jingga yang menyerupai warna iPhone), Magic Night (hitam) dan Snow (putih). Untuk spesifikasi dalaman, peranti ini akan dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 8500 Elite dan ditawarkan dengan pilihan memori 12/256GB serta 12/512GB.

Walaupun beberapa perincian masih belum disahkan sepenuhnya, khabar angin menyatakan peranti ini bakal dilengkapi kamera utama 50MP dan skrin LTPS AMOLED bersaiz 6.79 inci. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version