Site icon TechNave BM

HONOR Watch GS 3 dan HONOR Earbuds 3 Pro dilancar di Malaysia, bermula RM699

Selain melancarkan telefon pintar andalan HONOR Magic4 Pro pada hari ini, HONOR Malaysia turut melancarkan dua buah aksesori baharu iaitu jam tangan pintar HONOR Watch GS 3 dan fon telinga wayarles HONOR Earbuds 3 Pro.

HONOR Watch GS 3

Jam tangan pintar premium ini menampilkan rekaan jam mekanikal tradisional yang memaparkan jarum jam, minit dan saat pada skrin. Badannya dibina dengan besi tahan karat 316L, mempunyai berat 44 gram dan ketebalan 10.5mm serta ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam Midnight Black, biru Ocean Blue dan emas Classic Gold.

Ia turut dilengkapi sensor photoplethysmography (PPG) lapan saluran yang mengesan isyarat optikal untuk AI Heart Rate Monitoring Engine yang menggabungkan pelbagai algoritma bagi menambah baik ketepatan fungsi pemantauan kadar jantung.

Watch GS 3 turut menawarkan lebih 100 mod senaman serta L1/L5 Dual Frequency Global Navigation Satellite System (GNSS) untuk penjejakan lokasi yang lebih tepat apabila berlari, berbasikal atau mendaki.

HONOR Watch GS 3 akan dijual pada harga RM899 untuk warna Midnight Black dan RM999 untuk warna Ocean Blue dan Classic Gold.

HONOR Earbuds 3 Pro

Fon telinga wayarles ini menampilkan rekaan ergonomik, ringan dan selesa dipakai. Ia dilengkapi pemacu Coaxial Dual-Driver Design Super-Amplitude Driver dan Piezoelectric Ceramic Tweeter pertama dunia bagi menghasilkan bunyi berkualiti tinggi.

Ia mempunyai teknologi pembatalan hingar aktif adaptif (Adaptive ANC) dan penghubung yang dipertingkatkan untuk pengalaman muzik yang lebih mengasyikkan.

Satu ciri unik pada Earbuds 3 Pro adalah ia merupakan fon telinga wayarles pertama yang hadir dengan pemantauan suhu AI. Pengguna hanya perlu menyentuhnya sebanyak tiga kali dan anda akan dapat data suhu dengan mudah.

Dengan pengecasan pantas 5C, pengecasan selama lima minit boleh memainkan muzik selama dua jam. Ia juga boleh dicas secara wayarles dan pengecasan berbalik daripada sebuah telefon seperti HONOR Magic4 Pro.

HONOR Earbuds 3 Pro akan dijual pada harga RM699 serta ditawarkan dalam warna putih dan kelabu.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli mana-mana produk di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version