Hotlink hari ini memperkenalkan pakej telekomunikasi baharu untuk para pelancong iaitu SIM Pelancong Hotlink (Hotlink Travel SIM) bagi membantu komunikasi sewaktu anda melancong ke negara-negara jiran. Kad SIM ini menawarkan perayauan (roaming) internet 5G tanpa had di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
SIM Pelancong Hotlink akan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu:
- Hotlink Travel SIM RM35, sah laku selama 15 hari
- Hotlink Travel SIM RM60, sah laku selama 30 hari
Kedua-dua pakej menawarkan internet tanpa had 12Mbps, namun perlu diingati bahawa hanya 100GB boleh digunakan, seperti yang termaktub dalam Polisi Penggunaan Adil (FUP). Ini bermaksud jika anda ingin gunakan lebih daripada 100GB, anda masih boleh kekal dapatkan hubungan internet, namun kelajuannya akan direndahkan.
Anda juga akan menikmati panggilan tanpa had sewaktu berada dalam Malaysia.
Produk ini boleh dibeli di Pusat Maxis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan hab pelancongan terpilih.
Untuk penggunaan lanjutan, pengguna boleh tambah nilai dengan mana-mana pas Hotlink, seperti pilihan RM45, RM25, RM12 atau RM4. Anda juga boleh beli Pas Perayauan Tambahan atau teroka lebih 300 Ganjaran Hotlink melalui aplikasi Hotlink.
Layari laman web Hotlink untuk maklumat lanjut mengenai produk ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

