Site icon TechNave BM

HP Experience Hub Malaysia pertama diumum, benarkan pengguna cuba pelbagai produk HP

HP Malaysia telah mengumumkan gedung fizikal terbaru mereka iaitu HP Experience Hub yang terletak di Tingkat 4, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Gedung tersebut menyediakan perkhidmatan jualan atas talian ke luar talian (online-to-offline, O2O) untuk para pelanggan dan membenarkan mereka untuk mencuba pelbagai produk HP secara fizikal.

Gedung tersebut bakal mempunyai beberapa stesen Test Drive di mana ia membina persekitaran dan aktiviti yang mungkin dilakukan oleh pengguna sewaktu menggunakan produk HP di rumah. Test Drive ini dibahagikan kepada stesen Premium untuk peranti tercanggih, stesen Gaming untuk komputer dan monitor gaming, stesen Commercial untuk peranti perniagaan serta stesen Print untuk peranti percetakan.

Para pelanggan juga boleh menghantar peranti HP mereka untuk dibaiki atau menghias peranti HP mereka dengan ukiran atau cetakan khas. Sebuah kafe turut disediakan dalam HP Experience Hub untuk membenarkan pelanggan berehat sewaktu melihat produk-produk yang ditawarkan.

Selain itu, jika pelanggan tidak boleh hadir ke gedung ini, mereka boleh berkomunikasi dengan HP Live Advisors yang bertugas di HP Experience Hub secara panggilan video atau sembang teks untuk sebarang pertanyaan mengenai produk yang dijual. Pelanggan juga boleh menyertai siaran langsung mengenai demonstrasi produk dalam HP Virtual Showroom.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan gedung HP terbaru ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version