Site icon TechNave BM

HTC U24 Pro rasmi dengan paparan OLED 120Hz 6.8″, SD 7 Gen 3 dan kamera 50MP OIS bermula ~RM2,764

HTC mengotakan janjinya untuk melancarkan HTC U24 Pro pada hari ini di Taiwan. Telefon pintar ini menawarkan ciri utama seperti paparan OLED 120Hz, cipset siri Snapdragon 7, kamera belakang 50MP, sokongan pengecasan wayarles dan banyak lagi.

Bermula dari hadapan, HTC U24 Pro menawarkan paparan melengkung OLED 6.8 inci dengan resolusi FHD+, kadar penyegaran adaptif 120Hz dan perlindungan Corning Gorilla Glass. Ia juga menampilkan lampu notifikasi dwi-warna LED menghadap ke hadapan bersama kamera swafoto 50MP.

Pada bahagian belakang pula terdapat kamera utama 50MP dengan sokongan OIS, ultra lebar 8MP dan potret telefoto 50MP dengan zum optik 2x. Sistem kamera dipertingkatkan dengan ciri AI seperti foto kumpulan yang dioptimumkan AI, GIF gerak isyarat AI, peningkatan potret cahaya malap AI dan rakaman video 4K.

HTC U24 Pro dilengkapi cipset Snapdragon 7 Gen 3 , RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 256GB/512 GB. Baterinya berkapasiti 4,600mAh yang menyokong pengecasan pantas 60W, pengecasan wayarles 15W dan pengecasan wayarles terbalik 5W. Ciri lain HTC U24 Pro termasuk Android 14, bicu audio 3.5mm, port USB-C, dwi SIM, 5G, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3 dan NFC.

Untuk keselamatan, ia mempunyai pengimbas cap jari dalam skrin. U24 Pro mempunyai ketebalan 8.98mm dan berat 198.7g serta hadir dalam dua varian di Taiwan. Model asas 12/256GB berharga TWD 18,990 (~RM2,764) dan varian 12/512GB berharga TWD 20,999 (~RM3,055). Ia boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Space Blue dan Twilight White.

Pengeluaran U24 Pro di pasaran di luar China masih tidak pasti. Beritahu pendapat anda tentang HTC U24 Pro di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: HTC

Exit mobile version