HUAWEI baru-baru ini telah melancarkan AI Lab dan Innovation Centre di The Exchange 106, Kuala Lumpur sebagai langkah memperluas pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital di Malaysia serta rantau Asia Pasifik. Majlis pelancaran turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama wakil kerajaan dan pemain industri.
Fasiliti seluas lebih 13,000 kaki persegi akan berfungsi sebagai platform kolaborasi melibatkan industri, penyelidik dan institusi pendidikan dengan fokus mempamerkan penyelesaian AI serta aplikasi dunia sebenar merangkumi sektor kerajaan, pendidikan dan tenaga. Dalam masa sama, ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara perusahaan dan rakan ekosistem selain memacu pembangunan bakat AI tempatan.
HUAWEI memaklumkan inisiatif ini selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan agenda MADANI, dengan penekanan terhadap transformasi digital, AI dan tenaga hijau. Mereka juga menumpukan kepada pengukuhan ekosistem rangkaian dan pengkomputeran bagi mempercepat penggunaan AI merentas industri selain meneruskan kerjasama dengan telco tempatan untuk meningkatkan pengalaman 5G dan jalur lebar termasuk di kawasan luar bandar.
Pelancaran ini hadir bersempena ulang tahun ke-25 HUAWEI di Malaysia sejak memasuki pasaran pada 2001 dengan hampir 4,000 tenaga kerja tempatan dan kadar lokalisasi melebihi 80%. Teknologinya kini menyokong majoriti populasi negara termasuk pembangunan infrastruktur telekomunikasi dari 2G hingga 5G dan penglibatan dalam pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu termasuk bersama U Mobile.
Dalam tempoh lima tahun lalu, HUAWEI akan melatih lebih 72,000 profesional ICT tempatan melalui pelbagai inisiatif. Di peringkat pengguna, HUAWEI terus memperkukuh ekosistem “Seamless AI Life” merangkumi pelbagai peranti sambil mempamerkan teknologi baharu termasuk peranti boleh pakai kesihatan dengan fungsi penilaian risiko diabetes.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

