Site icon TechNave BM

Huawei akan lancarkan P30 Pro New Edition, bakal dilengkapi perkhidmatan Google

Walaupun siri Huawei P40 sudah pun dilancarkan secara rasmi, nampaknya Huawei masih tidak merancang untuk meminggirkan siri P30. Tidak lama lagi, syarikat itu akan melancarkan varian baru dalam siri P30 iaitu P30 Pro New Edition.

Berita ini dilaporkan oleh Huawei Central apabila Huawei Jerman memperkenalkan kempen promosi untuk siri Huawei P30. Yang menariknya, sudut syarat dan peraturan promosi tersebut menyenaraikan P30 Pro New Edition sebagai sebahagian daripadanya. Ini bermaksud telefon tersebut mungkin akan dilancarkan dalam tempoh kempen itu iaitu 15 Mei-4 Jun.

Namun perbezaan P30 Pro New Edition yang paling ketara (dan mungkin penting buat anda) dengan siri telefon Huawei yang lebih baru seperti P40 adalah ia akan dilengkapi perkhidmatan Google Mobile Services (GMS). Untuk makluman, GMS juga dilengkapi dalam P30 Lite New Edition yang dilancarkan awal tahun ini.

Perkara ini tentunya adalah berita menarik buat mereka yang inginkan peranti Huawei dan GMS pada masa yang sama. Adakah anda akan mendapatkan P30 Pro New Edition jika ia dipasarkan dalam Malaysia? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version