HUAWEI mengumumkan dalam Weibo bahawa mereka akan melancarkan siri telefon pintar flagship terbaru untuk tahun 2026 iaitu siri HUAWEI Mate 80 dan telefon lipat HUAWEI Mate X7. Pelancaran tersebut akan berlangsung pada hari Selasa, 25 November 2025 di China.
Siri Mate 80 dijangka akan terdiri daripada empat varian utama iaitu HUAWEI Mate 80, HUAWEI Mate 80 Pro, HUAWEI Mate 80 Pro Max (menggantikan varian Pro+ dalam siri sebelumnya) dan Mate 80 RS Master Edition.
Antara ciri-ciri baharu yang mungkin akan diperkenalkan dalam siri Mate 80 termasuklah pengecaman muka 3D untuk semua varian, pengimbas cap jari sisi, RAM sehingga 20GB, cipset Kirin 9030 dan bonggol kamera unik yang berwarna merah. Satu ciri menarik pada rekaan luarannya adalah bulatan di bawah bonggol kamera yang mungkin berfungsi sebagai pengecas wayarles magnetik.
Berikut adalah gambar-gambar yang menunjukkan rekaan dan pilihan warna Mate 80 Pro Max:
Untuk telefon lipat Mate X7 pula, ia dikhabarkan akan mempunyai skrin lipat berukuran 7.95 inci dengan resolusi 2K dan dibuat daripada kaca ultra-nipis (UTG), cipset Kirin 9030, bateri yang lebih besar, kamera yang dipertingkat dan rekaan yang lebih ringan.
Pilihan warnanya terdiri daripada hitam Obsidian Black, ungu Phantom Purple, merah Cosmic Red, biru Cloud Blue dan putih Cloud White.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

