HUAWEI melancarkan Pura X View di China sebagai telefon pintar rekaan paparan lebar pertama jenis standard tanpa skrin boleh lipat. Ia menjadi pilihan terbaharu dalam barisan telefon pintar HUAWEI yang memfokuskan reka bentuk paparan Unik. Ciri utama peranti terletak pada skrin OLED 6.39 inci yang menggunakan nisbah aspek lebar 16:9.5 dan resolusi 2232 x 1320 piksel.
Skrin berkenaan menyokong nisbah skrin-ke-badan sebanyak 96.1 peratus dan bingkai di sekeliling skrin dikurangkan sehingga 1.05mm. Panel paparan menawarkan kecerahan puncak sehingga 6,500 nits bersama pemalapan PWM 2,160Hz. Nisbah paparan lebar 16:9.5 berfungsi memberikan kawasan paparan yang lebih luas berbanding panel format panjang konvensional.
Skrin lebar memberikan keluasan paparan yang lebih optimum semasa membaca dokumen, menonton video dan bermain permainan video. Walaupun dipadankan dengan bateri berkapasiti 7,000mAh, ia mempunyai ketebalan fizikal 6.68mm dan berat 201 gram. Pura X View beroperasi menggunakan sistem HarmonyOS 7.0.
Bagaimanapun, HUAWEI tidak mengumumkan perincian cip pemprosesan dan spesifikasi lengkap kamera belakang. HUAWEI Pura X View ditawarkan dalam pilihan memori RAM 12GB bersama storan 256GB, 512GB dan 1TB. Pilihan warna yang disediakan merangkumi Phantom Night Black, Leaping Shadow Red, Linen Grey dan Zero Degree White.
Tempahan awal kini telah dibuka di China dengan jualan rasmi dijadualkan bermula pada 28 Ogos. Namun, tanda harga rasmi dan ketersediaan untuk pasaran antarabangsa masih belum diumumkan oleh mereka. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

