Site icon TechNave BM

HUAWEI FreeBuds 6i dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles dengan ANC berharga RM399

Selain melancarkan tablet dan komputer riba baharu pada hari ini, HUAWEI Malaysia turut melancarkan sepasang fon telinga wayarles terbaru iaitu HUAWEI FreeBuds 6i. Fon telinga ini mempunyai beberapa ciri menarik seperti Intelligent Dynamic ANC 3.0, Super Bass dan banyak lagi.

Intelligent Dynamic ANC 3.0 merupakan teknologi pembatalan hingar aktif (ANC) yang boleh membatalkan hingar sehingga 27dB dengan frekuensi 5kHz. Ini bermaksud ia cukup bagus untuk membatalkan bunyi bising di sekeliling anda sewaktu mendengar muzik atau menjawab panggilan telefon.

Fon telinga ini mempunyai enam mikrofon, terdiri daripada tiga mikrofon untuk sebelah fon telinga. Ia boleh membatalkan bunyi persekitaran yang berfrekuensi rendah dan sederhana supaya suara anda boleh dirakam dengan lebih jelas sewaktu membuat panggilan telefon.

Ia turut mempunyai pemacu Dynamic Driver 11mm yang lebih sensitif untuk menjana gelombang bunyi berlawanan (reverse sound waves) bagi membatalkan bunyi hingar. Ia juga mempunyai pengiktirafan Hi-Res untuk menghasilkan kualiti audio yang tinggi, serta boleh menghasilkan bass serendah 14Hz untuk efek bass yang dalam.

Baterinya boleh bertahan sehingga lapan jam (fon telinga sahaja) atau 35 jam jika digabungkan dengan bateri dalam bekas pengecasan, manakala pengecasan selama 10 minit sudah cukup untuk pendengaran selama empat jam. Ia turut mempunyai rating kalis air IP54.

Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu ungu, hitam dan putih. Untuk mengawal pelbagai fungsinya seperti kawalan volume dan tahap ANC, fon telinga ini menyokong input sentuh pada badannya.

HUAWEI FreeBuds 6i akan dijual pada harga RM399. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version