Site icon TechNave BM

HUAWEI FreeBuds SE diumum di Malaysia: Fon telinga wayarles stereo bermula RM169

Pada hari ini, HUAWEI Malaysia mengumumkan fon telinga wayarles terbaharu iaitu HUAWEI FreeBuds SE yang menampilkan kualiti audio jelas dengan harga berpatutan.

Freebuds SE adalah sepasang fon telinga Bluetooth True Wireless Stereo (TWS) yang menawarkan kualiti audio yang tinggi serta rekaan ergonomik untuk pemakaian yang selesa dalam tempoh yang lama. HUAWEI mengatakan ia akan dijual dengan harga mampu milik supaya ia lebih mudah dimiliki oleh ramai orang.

Ia juga memiliki teknologi pembatalan hingar (noise cancellation) sewaktu membuat panggilan telefon dan bateri yang boleh bertahan selama 24 jam.

Fon telinga ini hadir dalam warna biru Turqoise Blue dan putih Pearl White. Ia akan mula dijual di Malaysia pada 7 Julai 2022 dengan harga pasaran RM199.

Jika anda membuat pra-tempahan dalam tempoh 25 Jun hingga 7 Julai 2022, anda boleh mendapatkan harga promosi awal iaitu RM169 sahaja. Anda hanya perlu membuat bayaran awal sejumlah RM16.90, kemudian lengkapkan bayaran penuh sebanyak RM152.10 pada 7 Julai 2022 apabila anda mengambilnya.

Selain itu, anda juga boleh membeli gelang tangan pintar HUAWEI Band 7 pada harga promosi RM169 (harga asal RM219) sepanjang tempoh yang sama.

Layari laman web HUAWEI Malaysia atau laman Facebook HUAWEI Malaysia untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version