Selain pelancaran HUAWEI Mate X7, HUAWEI turut memperkenalkan beberapa peranti boleh pakai (wearables) baharu di pasaran Malaysia merangkumi fon telinga terbuka dan jam pintar premium untuk gaya hidup serta sukan. Antara yang mencuri tumpuan ialah HUAWEI FreeClip 2 iaitu fon telinga jenis open-ear terbaharu yang menggantikan model FreeClip sebelum ini.
FreeClip 2 menggunakan struktur Airy C-bridge yang kini 25 peratus lebih lembut hasil penggunaan silikon cecair selain lebih ringan dengan berat hanya 5.1 gram setiap unit. Ia turut hadir dengan penarafan kalis air IP57 sesuai untuk kegunaan harian dan aktiviti ringan. Audionya dikuasakan pemacu dwi-diaphragm 10.8mm bersama pemproses AI yang menyokong ciri Adaptive Volume dan Adaptive Voice Enhancement, memastikan bunyi kekal jelas dalam pelbagai persekitaran.
Kawalan sentuhan, leretan dan pergerakan turut disokong. Daripada segi bateri, ia menawarkan sehingga sembilan jam penggunaan dengan sekali cas manakala bekas pengecas memanjangkan jumlah keseluruhan sehingga 38 jam.
HUAWEI juga memperluaskan penawaran jam pintarnya dengan memperkenalkan Honma x Huawei Watch GT 6 Pro hasil kolaborasi bersama jenama golf mewah Honma. Jam ini menampilkan rekaan eksklusif dengan muka jam khas Honma serta kotak yang turut menyertakan aksesori golf. Spesifikasinya kekal seperti Watch GT 6 Pro standard dengan penambahan ciri khas golf seperti AI Caddie, analisis jarak pukulan dan cerun padang.
Sementara itu, HUAWEI turut memperkenalkan tali jam baharu untuk Watch GT 6 41mm termasuk tali Gold Milanese dan Black fluoroelastomer dengan varian emas dijual pada RM1,199. Bagi segmen ultra premium, HUAWEI melancarkan Watch Ultimate Design Royal Gold yang menampilkan rekaan ungu berinspirasikan berlian dengan kemasan emas, rangka logam cecair berasaskan zirkonium dan tali titanium.
Jam ini menyokong penjejakan kesihatan serta aktiviti selam sehingga 150 meter. Untuk harga, FreeClip 2 akan dijual pada harga RM749, namun ditawarkan pada RM699 buat masa terhad. Honma x Huawei Watch GT 6 Pro pula dijual pada harga RM1,299 manakala Watch Ultimate Design Royal Gold berharga RM13,999 di Malaysia.

