Site icon TechNave BM

HUAWEI FreeClip dilancar di Malaysia: Fon telinga TWS “open-ear” pertama oleh HUAWEI berharga RM899

Pada hari ini, HUAWEI Malaysia telah melancarkan sepasang fon telinga wayarles stereo tulen (TWS) yang unik iaitu HUAWEI FreeClip. Ia merupakan fon telinga HUAWEI pertama yang mempunyai rekaan telinga terbuka (open-ear) bagi memudahkan pengguna untuk memakainya dalam tempoh yang lama dengan selesa.

FreeClip menampilkan rekaan berbentuk huruf C bagi memudahkannya melekat pada cuping telinga serta sesuai dipakai untuk pelbagai saiz dan bentuk telinga. Berat untuk sebelah fon telinga FreeClip adalah serendah 5.6 gram sahaja.

Fon telinga ini dilengkapi pemacu 10.8mm Dual-magnet High-sensitivity Driver Unit untuk menghasilkan audio yang berkualiti tinggi kepada telinga pengguna. Selain itu, ia turut mempunyai rating kalis air IP54 supaya ia sesuai digunakan walaupun dalam situasi berpeluh.

Dengan rekaan telinga terbuka, ia membenarkan pengguna untuk mendengar muzik dan masih boleh peka dengan situasi persekitaran. Bagi mengelakkan sebarang bunyi daripada bocor ke sekeliling (sound leakage) pengguna, ia mempunyai sistem Reverse Sound Waves yang boleh membatalkan bunyi tidak diingini.

Satu lagi ciri menarik adalah FreeClip tidak mempunyai belah kiri-kanan secara khusus. Sebaliknya, pengguna hanya perlu memakai terus FreeClip kemudian ia akan mengesan secara automatik fon telinga manakah yang perlu bertindak sebagai fon telinga kanan dan kiri.

HUAWEI FreeClip akan dijual di Malaysia pada harga RM899 dan ia boleh didapati daripada laman web HUAWEI Malaysia, Shopee atau Lazada. Pelanggan awal berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai RM367.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version