HUAWEI secara rasmi telah memperkenalkan telefon lipat baharu, Mate X6 yang hadir dengan skrin yang lebih besar dan ciri kecerdasan buatan (AI) yang menarik untuk pengalaman pengguna. HUAWEI Mate X6 menampilkan skrin dalaman 7.93 inci dan skrin luaran 6.45 inci (lebih besar berbanding model sebelum).
Skrin dalaman menyokong resolusi 2440 x 1080 piksel, kecerahan puncak 1800 nits dan kadar segar semula 120Hz manakala skrin luaran menawarkan kecerahan maksimum 2500 nits dan resolusi 2440 x 2240 piksel. Kedua-dua skrin menggunakan teknologi LTPO 2.0.
Daripada segi reka bentuk, Mate X6 hadir dengan panel belakang kaca bercorak marmar dalam warna “Nebula Gray”. Pengguna juga boleh memilih varian panel kulit dengan lima pilihan warna seperti Kelabu, Putih, Merah, Biru Laut, dan Hitam. HUAWEI menggunakan bahan basalt dan gentian karbon untuk meningkatkan ketahanan telefon sehingga 65% lebih kukuh.
Telefon ini menjalankan HarmonyOS NEXT dengan ciri AI seperti gerak isyarat Airdrop untuk perkongsian media tanpa sentuhan dan permainan interaktif seperti “AI Air Shooting.” Daripada segi kamera, Mate X6 dilengkapi dengan kamera utama 50MP dengan apertur berubah 10 tahap (F1.4–F4.0), lensa ultra lebar 40MP, sensor inframerah dan telefoto makro 48MP dengan zoom optik 4x.
HUAWEI Mate X6 tersedia dalam dua model iaitu Standard dan Collector’s Edition. Edisi Collector menawarkan sokongan rangkaian satelit tiga arah yang membolehkan mesej dan panggilan dua hala serta akses internet satelit orbit rendah. Untuk harga, model standard untuk varian 12/256GB berharga 12,999 yuan (~RM7,990) dan varian 12/512GB berharga 13,999 yuan (~RM8,605).
Untuk model Collector pula, ia berharga 14,999 yuan (~RM9,220) untuk varian 16/512GB dan varian 16/1TB berharga 15,999 yuan (~RM9,834). Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan HUAWEI Mate X6 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: HUAWEI

