Site icon TechNave BM

HUAWEI Mate XT 2 dijangka dilancar September ini, telefon lipat tiga dengan sokongan Satelit

HUAWEI dilaporkan sedang membangunkan telefon pintar boleh lipat tiga baharu di bawah siri Mate XT dengan model terbarunya, Mate XT 2. Ia dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada September ini di China. Perkara ini didedahkan oleh penganalisi maklumat terkenal, Smart Pikachu yang turut menyatakan bahawa peranti ini sedang menjalani ujian dalaman.

Salah satu ciri menarik yang bakal diperkenalkan adalah sokongan sambungan satelit yang berkemungkinan untuk kegunaan mesej kecemasan atau akses internet asas di kawasan terpencil. Mate XT 2 juga dikatakan akan menerima beberapa penambahbaikan termasuk peningkatan pada cip pemproses, sistem kamera dan teknologi komunikasi.

Salah satu inovasi utama yang mungkin hadir ialah penggunaan teknologi kaca ultra fleksibel (UFG) yang direka untuk meningkatkan ketahanan skrin. Model Mate XT asal yang dilancarkan pada September tahun lalu menampilkan skrin besar 10.2 inci dengan rekaan ultra nipis 3.6mm, sistem tiga kamera, RAM 16GB dan storan sehingga 1TB.

Ia dilaporkan telah terjual lebih 400,000 unit, menunjukkan minat pengguna yang semakin meningkat terhadap telefon boleh lipat premium. Persoalannya, bagaimanakah sambutan telepon lipat tiga kali ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version