Site icon TechNave BM

HUAWEI Mate XTs dijangka lebih mahal berbanding iPhone Fold

HUAWEI dilapor bakal melancarkan telefon pintar tiga lipatan generasi terbaharu yang dikenali sebagai HUAWEI Mate XTs sekitar pertengahan September ini dengan harga permulaan yang dijangka lebih tinggi berbanding telefon lipat pertama keluaran Apple, iPhone Fold.

Menurut sumber, HUAWEI Mate XTs dijangka ditawarkan pada harga sekitar 20,000 yuan (~RM13,100) untuk model storan 256GB. Sebagai perbandingan, iPhone Fold dijangka berharga sekitar 15,999 yuan (~RM10,500) yang menjadikan peranti HUAWEI itu lebih mahal kira-kira 25%.

Pelancaran HUAWEI Mate XTs dijangka berlangsung pada 12 September 2025 selari dengan pelancaran siri iPhone 17 dan model lipat pertama Apple. Meskipun HUAWEI belum mengesahkan nama model tersebut, laporan menyebut bahawa Mate XTs merupakan penambahbaikan kepada model Mate XT terdahulu tanpa perubahan ketara pada rekaan keseluruhan.

Peranti baharu itu dijangka hadir dengan beberapa naik taraf spesifikasi termasuk cip pemprosesan lebih berkuasa, sistem kamera dipertingkat dan pilihan warna yang lebih pelbagai. Teknologi skrin lipat tiga juga mengekalkan status premium peranti ini dengan kos pembangunan dan pengeluaran yang jauh lebih tinggi berbanding model lipat dua.

Untuk rekod, HUAWEI pernah melancarkan Mate XT generasi pertama dengan harga RM14,999 dan terus menjadi antara peranti boleh lipat paling mahal di pasaran. Walaupun iPhone Fold menerima tumpuan global menjelang pelancarannya, HUAWEI dilihat mahu mengekalkan kelebihan awal dalam teknologi skrin lipat dengan menampilkan rekaan tri-fold yang lebih kompleks dan eksklusif.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Notebookcheck

Exit mobile version