Site icon TechNave BM

HUAWEI MateBook 13s/14s & MatePad Pro versi terbaru dilancar, bermula ~RM4,500

Baru-baru ini, HUAWEI telah melancarkan HUAWEI komputer riba MateBook 13s dan 14s serta HUAWEI MatePad versi terbaru yang menawarkan pilihan storan dalaman yang dipertingkat .

Siri HUAWEI MateBook miliki badan yang diperbuat daripada besi yang nipis dengan berat 1.32 kg, nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90% dan kamera web berada pada lubang (punch hole) yang terletak pada bingkai skrin. Paparannya mempunyai resolusi 2520×1680 (3:2) 14 inci, kadar segar semula 90Hz, kadar sinar biru rendah dan warna gamut sRGB 100%.

Ia dilengkapi cipset Intel Core i7 generasi ke-11 dengan output maksimum 45W dan reka bentuk sistem penyejukan seperti sirip ikan yang memberi peningkatan kepada proses penyejukan sebanyak 25%. Selain itu, baterinya berkapasiti 60Whr yang memberikan penggunaan selama 13 jam dan penggunaan selama 3 jam dengan hanya 15 minit pengecasan.

HUAWEI MateBook 13s dan 14s menggunakan HUAWEI SOUND yang mana ia memberikan pengalaman audio yang terbaik dengan empat pembesar suara yang tersedia. Untuk pengetahuan, komputer ini boleh membuka sebarang aplikasi telefon pintar kerana ia dilengkapi enjin aplikasi mudah alih (mobile application engine) HUAWEI.

MateBook 13s dan 14s i5 + 16GB + 512GB berharga 6999 yuan (~RM4,501), i7 + 16GB + 512GB berharga 7999 yuan (~RM5,145) dan i7 + 16GB + 1TB berharga 8999 yuan (~RM5,788).

Seterusnya, HUAWEI juga telah menambah baik perantinya iaitu HUAWEI MatePad Pro dengan meningkatkan storan dalam yang terdapat pada versi terbarunya. Peranti ini mempunyai ukuran saiz skrin 12.6 inci, RAM 12GB, storan dalaman 512GB dan menyokong M-Pensel generasi kedua.

Ia juga menyokong paparan penglihatan selari (parallel vision) yang telah dibangunkan oleh HUAWEI untuk meningkatkan pengalaman paparan mendatar untuk aplikasi pihak ketiga. Ini memberikan pengalaman menonton dan penggunaan yang efisien kerana fungsi paparan dua tetingkap aplikasi dalam mod lanskap.

Spesifikasi lain HUAWEI MatePad Pro 12.6 inci adalah ia dilengkapi cipset pemproses siri Kirin 9000 serta skrin yang menyokong gamut warna lebar DCI-P3 dan OLED. Tablet ini turut menyokong fungsi multi-skrin bersama komputer dan siap dipasang dengan sistem operasi HarmonyOS.

Untuk harga, versi 5G berharga 9,499 yuan (~RM6,105) sementara versi Wi-Fi berharga 8,199 yuan (~RM5,274). Kedua-dua varian akan ditawarkan bersama stilus dan papan kekunci. Peranti ini akan mula dijual pada bulan ini di China, namun masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan barisan peranti HUAWEI ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version