Site icon TechNave BM

HUAWEI MateBook D15 (2023) dilancar di Malaysia: Komputer riba AMD Ryzen 7 bermula RM2,499

Pada hari ini, HUAWEI Malaysia melancarkan sebuah komputer riba baharu iaitu HUAWEI MateBook D15. Komputer multimedia ini mempunyai CPU AMD Ryzen 7 5000 Series yang menjanjikan prestasi multi-teras yang lebih pantas sebanyak 28 peratus daripada generasi sebelumnya.

Komputer ini mempunyai skrin IPS berukuran 15.6 inci dengan resolusi Full HD 16:9 dan telah mendapat pengiktirafan TÜV Rheinland cahaya biru rendah untuk penggunaan yang lebih selesa pada mata. Ia dikelilingi oleh sempadan bezel nipis yang memberikan nisbah skrin-ke-badan setinggi 87 peratus.

Selain itu, ia turut dilengkapi unit pemproses grafik AMD Radeon Graphics, RAM 8GB dan storan SSD PCIe. Komputer ini menawarkan spesifikasi lengkap untuk kebanyakan tugas harian dan produktiviti. Dengan berat 1.63kg dan kenipisan 16.9mm sahaja, komputer ini juga mudah untuk dibawa ke mana-mana bagi melengkapkan kerja anda.

Baterinya berkapasiti 56Wh yang boleh bertahan sehingga 9.1 jam serta boleh dilaraskan antara Balanced Mode dan Performance Mode, bergantung kepada perisian yang dibuka dalam komputer. Untuk meningkatkan pelesapan haba, komputer ini mempunyai kipas HUAWEI Shark Fin untuk mengalirkan udara dengan cekap di dalamnya.

Port yang terdapat pada komputer ini terdiri daripada port USB-C, USB3.2 Gen 1, dua USB2.0, HDMI dan bicu audio 3.5mm.

Sebagai sebuah produk HUAWEI, komputer riba MateBook D15 boleh disertakan dalam ekosistem HUAWEI Super Device untuk memudahkan penggunaan di antara beberapa jenis peranti serentak, seperti telefon, tablet, monitor dan pembesar suara.

HUAWEI MateBook D15 akan dijual pada harga RM2,499 dan pra-tempahan akan dibuka sehingga 30 April 2023. Jika anda membuat pra-tempahan, anda layak menerima diskaun RM100 dan hadiah menarik bernilai RM690.

Layari laman web HUAWEI Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai komputer ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version