Site icon TechNave BM

HUAWEI MateBook D15 i3 dilancar di Malaysia: Komputer riba Intel i3 mampu milik berharga RM2,599

HUAWEI Malaysia hari ini telah melancarkan komputer riba HUAWEI MateBook D15 i3 yang menampilkan pelbagai spesifikasi canggih namun dijual pada harga mampu milik iaitu RM2,599 sahaja. Komputer ini dilengkapi cipset Intel i3 generasi ke-10 dan dilengkapi spesifikasi yang cukup untuk tugasan harian.

Komputer ini mempunyai skrin FullView berukuran 15.6 inci dengan resolusi 1080p dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 87%. Bentuknya juga memudahkan ia untuk dibawa ke mana-mana, dengan ketebalan 16.9mm apabila dilipat dan berat 1.53kg sahaja.

Untuk memudahkan akses pantas dan selamat kepada komputer, butang kuasa komputer ini turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Daripada segi pengecasan, ia menyokong pengecasan USB Type-C 65W yang HUAWEI katakan pengecasan selama 15 minit adalah cukup untuk penggunaan selama dua jam.

Komputer ini boleh dihubungkan dengan peranti HUAWEI lain melalui HUAWEI Share dan Multi-screen Collaboration bagi memudahkan penggunaan dan perkongsian fail di antara telefon, tablet dan komputer. Selain itu, kamera webcam pula diletakkan di bawah papan kekunci agar pengguna boleh berasa selamat dan tidak perlu risau jika kamera mereka digodam.

HUAWEI MateBook D15 i3 kini dibuka untuk pra-tempahan sehingga 17 Jun di HUAWEI Online Store, di mana setiap pra-tempahan akan disertakan dengan hadiah percuma bernilai RM498 termasuk HUAWEI Backpack dan HUAWEI Bluetooth Mouse.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli komputer HUAWEI ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version