Site icon TechNave BM

HUAWEI MatePad T 10 Kids Edition dilancar di Indonesia, tablet untuk kanak-kanak berharga ~RM830

HUAWEI telah melancarkan tablet terbaru untuk kegunaan kanak-kanak iaitu HUAWEI Matepad T 10 Kids Edition yang dilengkapi cipset Kirin 710A dan skrin IPS LCD berukuran 10 inci dengan resolusi 1280 x 800 dan ketumpatan piksel 156 piksel per inci.

Tablet ini mempunyai sarung berwarna biru muda dan dibuat dengan silikon bagi melindunginya daripada sebarang hentakan. Silikon itu juga dibuat dengan bahan yang tidak mencemari makanan dan boleh ditanggalkan.

Turut didatangkan dengan tablet ini adalah sebatang stilus yang boleh digunakan dalam buku warna digital. Tablet ini menyediakan ruang untuk menempatkan stilus tersebut agar ia tidak mudah dihilangkan.

Ia juga mempunyai pemegang luaran yang boleh dijadikan sebagai tongkat untuk mendirikannya. Pelanggan turut menerima langganan percuma selama 12 bulan kepada Azoomee, sebuah perkhidmatan yang menawarkan teka-teki, permainan dan video pendidikan.

Daripada segi spesifikasi dalaman, ia dilengkapi RAM 2GB, storan 16GB atau 32GB, perisian EMUI 10.1 berdasarkan Android 10, bateri 5,100mAh, pengecasan 5W. Untuk tujuan keselamatan, tablet ini akan dimatikan sewaktu ia dicas agar kanak-kanak tidak menggunakannya sewaktu pengecasan dan menjauhkan diri daripada palam elektrik.

Ia turut menyokong hubungan LTE, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.1 dan GPS. Untuk fotografi, ia mempunyai kamera utama 5MP dengan fungsi rakaman 1080p serta kamera swafoto 2MP.

Tablet unik ini sudah dilancar untuk pasaran Indonesia dengan harga 2,900,000 Rupiah (~RM830). Setakat ini masih tiada maklumat untuk pelancarannya dalam Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version