Site icon TechNave BM

HUAWEI Mobile Service kini miliki 6 juta pembangun, antara ekosistem aplikasi terbaik dunia

HUAWEI hari ini meraikan Hari Pembangun HUAWEI dengan acara berlangsung selama sehari yang diadakan di Kuala Lumpur. Acara tersebut bagi meraikan evolusi dan pertumbuhan ekosistem HUAWEI Mobile Service (HMS).

HUAWEI mendedahkan bahawa sejak penampilan sulungnya pada 2018, ekosistem HMS telah menjadi salah satu daripada 3 ekosistem aplikasi mudah alih teratas di dunia. Mereka memiliki jumlah pembangun Teras HMS global mencecah 6 juta dengan 25,030 API dibuka.

Acara itu juga menyaksikan HUAWEI melancarkan penyelesaian industri HMS di rantau Asia-Pasifik untuk mencipta teknologi aplikasi yang inovatif dan mencapai pertumbuhan bagi ekosistem yang saling menguntungkan. Penyelesaian industri HMS termasuk produk dan teknologi Iklan HUAWEI seperti Push dan geo-fencing.

Selain itu, terdapat juga Petal Maps (Kit Peta, Kit Lokasi dan Kit Tapak) dengan panduan peringkat lorong, pemodelan 3D ketelitian tinggi dan penyepaduan mendalam dengan peranti HUAWEI. Selain itu, HUAWEI juga menjanjikan kemajuan dan teknologi termaju dalam bidang media yang merangkumi topeng muka, penapis AI dan penjejakan orang.

Daripada segi gaming, HUAWEI menawarkan penyelesaian HMS dalam bentuk platform perkhidmatan sehenti untuk pembangun game melalui AppGallery yang mempunyai lebih 580 juta pengguna aktif bulanan. Secara keseluruhan, HMS meliputi 570 juta pengguna di lebih 170 negara.

Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai HMS dengan melawati laman rasminya di sini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version