Site icon TechNave BM

HUAWEI nova Y9a dilancar: Kamera swafoto “pop-up”, skrin 6.63 inci, 4 kamera berharga ~RM1,745

HUAWEI telah memperkenalkan telefon pintar kelas pertengahan terbaru di Afrika Selatan iaitu HUAWEI nova Y9a. Ciri yang paling menarik pada telefon ini adalah kamera swafoto yang tidak berada pada skrin, sebaliknya ia dibina secara dalaman dan boleh ditimbulkan (pop-up) sewaktu pengguna ingin mengambil swafoto.

Kamera swafoto itu mempunyai sensor 16MP dengan nilai apertur f/2.2. Kamera swafoto pop up ini membenarkan skrin HUAWEI nova Y9a untuk tidak mempunyai sebarang takuk atau lubang bagi menempatkan kamera swafoto seperti kebanyakan telefon pintar lain.

Ia mempunyai skrin IPS LCD berukuran 6.63 inci dengan resolusi Full HD+ (2400×1080) dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 92 peratus. Untuk spesifikasi dalaman pula, ia mempunyai cipset MediaTek Helio G80, RAM 8GB, storan dalaman 128GB, bateri 4,300mAh, pengecasan pantas 40W dan sistem operasi EMUI 10.1 berdasarkan Android 10.

Untuk fotografi, ia mempunyai kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 2MP dan sensor kedalaman 2MP. Kamera ini menawarkan pelbagai fungsi seperti Super Night Mode, penstabilan imej elektronik dan rakaman video 1080p.

Selain itu, ia turut menyokong 4G VoLTE, Wi-Fi 802.11ac, Bluetooth 5.1, port USB-C, bicu audio 3.5mm dan pengimbas cap jari dalam skrin. Pilihan warnanya terdiri daripada tiga iaitu perak Space Silver, merah jambu Sakura Pink dan hitam Midnight Black.

HUAWEI nova Y9a dijual di Afrika Selatan pada harga ZAR6,499 (~RM1,745) dan setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version