Site icon TechNave BM

HUAWEI, OPPO, Xiaomi bakal lancarkan peranti dengan MediaTek Dimensity 720 5G baru

Jika anda masih tidak tahu, MediaTek telah melancarkan cipset kelas pertengahan 5G terbaru, Dimensity 720 5G pada beberapa hari lepas. Terkini, cipset ini dilaporkan bakal menjana peranti akan datang dari HUAWEI, OPPO dan Xiaomi.

Selepas pelancaran siri cipset MediaTek 800 yang dikatakan lebih berpatutan dari cipset 5G flagship, MediaTek kini ingin menembusi pasaran dengan penawaran cipset 5G yang lebih berpatutan dari itu. Cipset MediaTek 720 5G merupakan cipset 7nm khas untuk peranti kelas pertengahan.

Sepintas lalu, cipset ini hadir dengan modem 5G, dua teras besar ARM Cortex-A76 2GHz dalam CPU octa-core dan GPU ARM Mali G57. Ia turut hadir dengan memori LPDDR4X sehingga 12GB dan storan UFS 2.2.

Cipset ini dilaporkan menyokong skrin HDR10+ dengan kadar segar semula 90Hz. Bagi aspek kamera pula, ia menyokong sehingga 64MP pada satu sensor atau 20MP + 16MP untuk tetapan dua sensor kamera. Anda boleh melihat lebih info pada gambar di atas.

Beberapa hari selepas pelancaran cipset ini, MediaTek kemudian mengumumkan barisan jenama telefon pintar pertama yang bakal menggunakan cipset ini. Rasminya, HUAWEI, OPPO dan Xiaomi adalah antara jenama pertama yang bakal menggunakan cipset ini untuk peranti kelas pertengahan mereka.

Untuk itu, kita nantikan apakah peranti yang bakal muncul dengan cipset ini. Apakah pandangan anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version