Site icon TechNave BM

HUAWEI perkenal Nova Flip S dengan skrin 120Hz, bateri 4400mAh dan pengecasan 66W bermula ~RM2,000

HUAWEI baru-baru ini telah memperkenalkan Nova Flip S iaitu sebuah telefon lipat jenis cangkerang terbaharu pada harga lebih mampu milik. Nova Flip S mengekalkan bentuk seakan model terdahulu, namun kini hadir dengan lebih banyak pilihan warna termasuk New Green, Sakura Pink, Zero White, Starry Black, Sand Black dan Sky Blue.

Versi dengan panel kulit mempunyai ketebalan 6.88mm dan berat 195g manakala versi kaca sedikit lebih tebal dengan ukuran 6.9mm dengan berat 199g. Telefon ini menampilkan dua paparan OLED dengan skrin utama fleksibel 6.94 inci LTPO FHD+ 120Hz dan skrin penutup 2.14 inci beresolusi 480×480 piksel yang turut menyokong kadar segar semula sama.

Walaupun HUAWEI tidak mengesahkan secara rasmi cip yang digunakan, model ini dijangka dikuasakan oleh Kirin 8030 dengan pilihan storan 256GB atau 512GB serta menjalankan sistem Harmony OS 5.1. Untuk kamera, ia dilengkapi dwi kamera belakang yang terdiri daripada kamera utama 50MP (f/1.9) dan ultra lebar 8MP (f/2.2) sementara kamera swafoto dengan sensor 32MP.

Baterinya pula berkapasiti 4,400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W. Harga jualan di China bermula sekitar CNY 3,388 (~RM2,000) menjadikan Nova Flip S antara model telefon lipat paling berpatutan dalam segmennya.

Buat masa ini, belum ada pengesahan sama ada HUAWEI akan membawa model ini ke pasaran antarabangsa, namun ia berpotensi menjadi peranti pilihan ramai. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: VMall

Exit mobile version