Site icon TechNave BM

HUAWEI Pura 80 Ultra diiktiraf telefon dengan kamera terbaik di dunia

HUAWEI Pura 80 Ultra kini muncul sebagai telefon pintar dengan kamera terbaik di dunia selepas meraih skor tertinggi DxOMark iaitu 175 mata, mengatasi Oppo Find X8 Ultra dan Vivo X200 Ultra. Dalam penilaian tersebut, Pura 80 Ultra mencatat 180 mata untuk foto, 166 mata untuk video, skor tertinggi dalam kategori kamera utama, mod bokeh dan telefoto.

DxOMark menekankan kekuatan peranti ini termasuk butiran imej yang sangat baik dalam cahaya rendah, autofokus pantas, dynamic range luas, tahap hingar rendah serta pencahayaan dan tona kulit yang lebih semula jadi.

Pura 80 Ultra hadir dengan kamera utama 50MP sensor 1 inci dengan apertur boleh laras f/1.6 hingga f/4, ultra-lebar 40MP dan dua lensa periskop telefoto dengan zum 3.7 kali dan 9.4 kali menggunakan sensor yang sama.

HUAWEI turut memperkenalkan sistem telefoto baharu dengan prisma bergerak yang membolehkan satu sensor dikongsi untuk dua tahap zum berbeza. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan ruang dan kos, malah memastikan hasil zum berkualiti tinggi meskipun imej pada tahap 9.4 kali hanya direkod pada 12.5MP berbanding 50MP pada 3.7 kali.

Dengan pencapaian ini, HUAWEI sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam teknologi fotografi mudah alih apabila Pura 80 Ultra dinobatkan sebagai peranti dengan sistem kamera paling canggih di pasaran ketika ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: DxOMark

Exit mobile version