Site icon TechNave BM

HUAWEI Watch D, Fit 2, GT 3 Pro, Band 7 dan Watch Kids 4 Pro dilancar di Malaysia, jam tangan pintar bermula RM219

Acara pelancaran produk HUAWEI telah berlangsung hari ini di mana kami menyaksikan debut telefon boleh lipat Mate Xs 2 serta tiga jam tangan pintar. Watch GT 3 Pro ialah produk utama bagi jam tangan pintar dengan reka bentuk premium serta sarat dengan ciri penjejakan kesihatan dan aktiviti.

Watch Fit 2 ialah jam pintar segmen permulaan dengan harga mesra poket yang hadir bersama bateri tahan lama dan reka bentuk yang anggun manakala Watch D dilengkapi penjejakan kesihatan yang canggih dengan penjejak tekanan darah dan ECG.

HUAWEI Watch GT 3 Pro

HUAWEI Watch GT 3 Pro hadir dalam saiz 46 mm (titanium) dan 43 mm (seramik). Kedua-duanya dilengkapi dengan paparan AMOLED serta pelbagai ciri penjejakan kesihatan dan aktiviti. Terdapat pengesan kadar denyutan jantung standard, pengukuran oksigen darah serta tekanan, penjejakan tidur, ECG dan pengesanan kekakuan arteri.

Terdapat pilihan lebih 100 mod sukan termasuk berenang dan menyelam. Pelari dan pejalan kaki dapat memanfaatkan GPS dwi-jalur. Jam tangan pintar ini beroperasi menggunakan antara muka HUAWEI Harmony OS 2 dan anda boleh menerima panggilan melalui Bluetooth. Hayat bateri pada model 46mm tahan selama dua minggu manakala model 43mm boleh bertahan kira-kira seminggu penggunaan.

Tempahan bermula dari 19 Mei hingga 26 Mei 2022. HUAWEI Watch GT 3 (43mm) dijual pada harga RM1,599 dengan tali kulit putih serta percuma HUAWEI Band 6 manakala edisi tali seramik berharga RM2,399 dan percuma HUAWEI Freebuds Lipstick. Model Titatnium 46mm bermula pada RM1,399 untuk versi tali silikon dan percuma HUAWEI Band 6.

HUAWEI Fit 2

Watch Fit 2 membawakan paparan AMOLED segi empat tepat 1.74 inci, kadar denyutan jantung sepanjang hari, SpO2 dan penjejakan tekanan serta penjejakan aktiviti untuk 96 mod sukan. Terdapat tiga gaya untuk dipilih iaitu Aktif (tali silikon), Klasik (tali logam) dan Elegan (tali kulit). Anda boleh menerima panggilan Bluetooth pada jam tangan dan mendapatkan animasi senaman kecergasan terus pada skrin.

Huawei Watch Fit 2 juga dilengkapi dengan GPS terbina dalam dan mempunyai hayat bateri tahan selama sepuluh hari. Watch Fit 2 bermula pada RM599 untuk Edisi Aktif dan RM699 untuk model edisi Elegan. Terdapat promosi jika anda membeli dua utas Watch Fit, anda hanya perlu membayar RM1,098.

HUAWEI Watch D

HUAWEI Watch D pada asalnya dilancarkan di China tahun lepas sebagai jam tangan pintar berorientasikan kesihatan dengan ECG dan pengukuran tekanan darah. Ia juga boleh menjejaki lebih 70 mod senaman, pengukuran kadar denyutan jantung, SpO2, tidur dan pengukuran tahap tekanan pengguna.

Bateri Watch D boleh bertahan sehingga tujuh hari dan dilengkapi dengan penarafan IP68. Ia memuatkan skrin sentuh warna AMOLED 1.64 inci. Setakat ini masih belum ada harga untuk pasaran Malaysia.

HUAWEI Band 7

HUAWEI Band 7 dilengkapi paparan AMOLED 1.47 inci, penjejakan kadar denyutan jantung dan oksigen darah serta rintangan air 5ATM. Ia datang dalam empat warna dan anda boleh menjejaki lebih 96 mod sukan. Bateri dinilai sehingga dua minggu. Jam tangan pintar ini tersedia dalam pasaran mulai Julai 2022 dan hadir dalam empat pilihan warna iaitu hitam, hijau, merah dan merah jambu berharga RM219.

HUAWEI Watch Kids 4 Pro

Jam tangan pintar ini mempunyai kamera hadapan 5MP pada skrin sentuh AMOLED 1.41 inci, RAM 1GB dan storan dalaman 8GB. Jam tangan pintar kanak-kanak ini hadir dalam dua pilihan warna iaitu biru dan merah jambu serta beratnya hanya 57.5g. Ia diperbuat daripada silikon UV manakala bateri 800mAh mempunyai sokongan pengecasan pantas.

Jam tangan pintar ini serasi dengan sambungan WLAN, Bluetooth dan rangkaian mudah alih. Ia juga menawarkan panggilan video, mempunyai 9 kedudukan AI dan menyokong pembantu suara. Jam tangan pintar mempunyai ensiklopedia terbina dan kalis air. Ia boleh didapati mulai 27 Mei 2022 dengan harga RM699.

Adakah anda berminat utuk memiliki salah satu jam tangan pintar daripada HUAWEI? Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memilikinya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version