HUAWEI Malaysia hari ini memperkenalkan siri jam tangan pintar HUAWEI WATCH GT 6 Pro dan HUAWEI WATCH GT 6 yang menampilkan pelbagai ciri-ciri kesihatan canggih, penjejakan kesihatan dan rekaan premium.
Siri HUAWEI WATCH GT 6 menampilkan bateri yang lebih besar sebanyak 65% berbanding generasi sebelumnya. Varian 46mm untuk WATCH GT 6 Pro dan GT 6 mempunyai bateri yang bertahan sehingga 21 hari dengan penggunaan ringan, manakala varian 41mm menawarkan hayat sehingga 14 hari.
Selain itu, ia mempunyai skrin AMOLED dengan kecerahan puncak 3,000 nits supaya ia mudah dilihat walaupun bawah cahaya matahari terik. Ia juga mempunyai saiz skrin yang 5.5% lebih besar berbanding generasi sebelumnya.
Untuk penjejakan sukan, ia mempunyai sistem kedudukan Sunflower yang meningkatkan ketepatan sehingga 20% berbanding generasi sebelumnya. Ia menyokong lebih 100 mod sukan termasuklah basikal, larian, golf dan selaman bebas.
Khas untuk sukan larian, ia mempunyai fungsi Running Form Analysis untuk beri panduan dan data mendalam kepada pengguna yang kerap berlari. Data ini termasuklah masa sentuhan tanah (ground contact time), ayunan menegak (vertical oscillation) dan keseimbangan.
Anda juga boleh menggunakan fungsi berpasukan (team-up) dengan rakan-rakan untuk berkongsi kedudukan, data dan pemberitahuan dalam masa nyata. Ia mempunyai Altitude Monitoring 2.0 yang efektif sehingga ketinggian 2,500m dan menjejak tahap SpO2, kadar degupan jantung, tekanan dan perubahan altitud.
Di samping sukan, ia mempunyai sistem penelitian kesihatan HUAWEI TruSense yang menawarkan 12 ukuran kesihatan emosi, penjejakan tidur dengan analisis HRV dan penelitian kardiovaskular serta lain-lain fungsi kesihatan. Varian Pro mempunyai fungsi ECG tambahan.
Satu lagi fungsi penting adalah jam ini mempunyai pengesan jatuh (fall detection). Jika pengguna terjatuh, jam tangan ini akan memulakan kiraan dan terus menghantar mesej SOS kepada pihak kecemasan tempatan.
Untuk rekaan, WATCH GT 6 Pro mempunyai sempadan bezel yang tertimbul dan dibina dengan kaca sapphire, aloi aluminium bertaraf penerbangan dan seramik nanokristal. Pengguna boleh pilih antara tiga jenis tali jam tangan iaitu tali jahitan dengan warna perang (brown composite woven), titanium dan tali fluoroelastomer berwarna hitam.
HUAWEI WATCH GT 6 pula mempunyai warna tali jam yang berlainan bergantung kepada varian saiz. Untuk varian 46mm, ia didatangkan dengan tali jahitan berwarna hijau, tali kulit berwarna kelabu dan tali fluoroelastomer berwarna hitam. Untuk varian 41mm, ia didatangkan dengan tali jahitan berwarna perang, tali kulit berwarna putih dan tali fluoroelastomer berwarna ungu.
Khas untuk pengguna beragama Islam, ia kini mempunyai aplikasi Waktu Solat Malaysia yang menyediakan notifikasi waktu solat dan arah kiblat.
Ia juga boleh digunakan bersama aplikasi e-dompet Touch ‘n Go eWallet untuk membuat pembayaran, serta aplikasi MyBorderPass untuk memudahkan pemeriksaan imigresen.
Siri HUAWEI WATCH GT 6 Series akan dijual di Malaysia pada harga:
- HUAWEI WATCH GT 6 41mm: RM999
- HUAWEI WATCH GT 6 46mm: RM1,099
- HUAWEI WATCH GT 6 Pro 46mm: RM1,299
Para pelanggan pertama yang membelinya akan menerima hadiah bernilai RM446, termasuklah fon telinga wayarles HUAWEI FreeBuds 6i dan langganan HUAWEI Health+ selama tiga bulan. Anda boleh belinya di laman web HUAWEI Malaysia, Shopee, Lazada atau TikTok Shop.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri jam tangan ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

