HUAWEI tidak melancarkan sebarang produk dalam acara IFA 2020, namun syarikat tersebut telah mengumumkan sebuah telefon pintar untuk pasaran antarabangsa iaitu HUAWEI Y9a, sebuah telefon mirip Enjoy 20 yang dilancarkan pada minggu lepas.
HUAWEI Y9a dilengkapi skrin IPS LCD Full HD+ berukuran 6.63 inci dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 92%. Skrin tersebut tidak mempunyai takuk notch atau lubang punch hole kerana kamera swafotonya adalah jenis pop-up.
Di belakang, ia menampilkan susunan kamera dalam bentuk bulatan mirip Mate 30 yang terdiri daripada kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP, sensor kedalaman 2MP dan kamera makro 2MP. Tidak seperti Enjoy 20 yang merupakan telefon 5G dengan cipset MediaTek Dimensity 720, Y9a dilengkapi MediaTek Helio G80 yang tidak mempunyai sokongan 5G.
Y9a mempunyai RAM 6GB atau 8GB manakala storan dalaman pula adalah 128GB namun boleh dibesarkan dengan kad memori. Ia didatangkan dengan bateri 4,200mAh yang boleh dicas dengan kadar 40W untuk pasaran Timur Tengah, Afrika dan beberapa negara Asia Tengah. Di negara-negara lain pula, Y9a hanya mempunyai pengecasan 22.5W.
Masih tiada maklumat tentang harga dan keberadaannya di Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizchina

