Site icon TechNave BM

IBM perkenal cip 0.7nm pertama dunia – 100 bilion transistor dalam litar sekecil kuku

IBM secara rasmi memperkenalkan cip transistor bawah 1nm pertama di dunia menerusi nod 0.7nm (7 angstrom / 7Å) dan merupakan satu pencapaian yang boleh membuka jalan kepada peranti lebih laju serta lebih cekap tenaga pada masa depan.

Cip ini memuatkan hampir 100 bilion transistor pada sekeping silikon bersaiz lebih kurang sebesar kuku yang menawarkan kepadatan transistor hampir dua kali ganda. IBM mendakwa teknologinya berpotensi memberikan prestasi sehingga 50% lebih tinggi atau penggunaan kuasa 70% lebih rendah berbanding cip 2nm.

Rahsia di sebalik pencapaian ini ialah seni bina baharu dipanggil nanostack iaitu reka bentuk 3D sequential integration yang menyusun transistor secara bertingkat dan menegak. Teknologinya membolehkan lebih banyak transistor dimuatkan sambil memberi ruang untuk mengoptimumkan prestasi setiap lapisan.

Malah, ujian awal turut menunjukkan peningkatan sekitar 40% pada penskalaan SRAM. Selepas kejayaan mencapai 7Å, industri dijangka akan terus bergerak ke arah 5Å, 3Å dan mungkin 1Å pada masa depan.

Walaupun pengguna biasa mungkin belum merasainya dalam masa terdekat, teknologi seperti ini berpotensi menghasilkan telefon, komputer dan pusat data yang lebih pantas serta lebih jimat tenaga pada tahun-tahun akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: IBM

Exit mobile version