Site icon TechNave BM

IKEA lancarkan perabot “gaming” khas dengan kolaborasi ASUS ROG, serendah ~RM18

Terdapat pelbagai perabot murah yang sudah boleh mula didapati di platform tertentu termasuklah platform e-dagang. Namun, IKEA masih menjadi antara pilihan utama pengguna di seluruh dunia. Berita baik untuk gamer yang juga gemar dengan dekorasi atau mencari perabot, IKEA kini melancarkan beberapa barangan rumah dan perabot khas gaming bersama kolaborasi jenama ASUS ROG.

Setakat ini, perabot khas gaming ini telah dilancar di pasaran China dan kami masih tidak mendapat maklumat jika ianya bakal dilancar di pasaran Malaysia. Jika ia mendapat sambutan, tidak mustahil jika IKEA Malaysia juga bakal melancarkan perabot kolaborasi ASUS ROG di pasaran tempatan.

Dalam barisan koleksi perabot dan barangan rumah kolaborasi IKEA x ASUS ROG ini, terdapat beberapa produk yang menarik perhatian seperti kerusi gaming, meja gaming, tempat letak CPU, tempat letak fon kepala dan juga pad tetikus. Turut tersenarai adalah barangan kecil yang boleh memberi impak kepada dekorasi berfokuskan gaming anda seperti pemegang koleh dan poster dengan harga serendah 29.90 Yuan (~RM18).

Anda boleh lihat beberapa produk berfokuskan gaming yang tersenarai seperti di bawah.

Biasanya, setiap gamer atau pemilik set PC bakal memaparkan setup atau susunan PC bersama dekorasi mereka di media sosial dengan pelbagai kreativiti tersendiri. Dengan perabot sebegini, susunan dan dekorasi anda pasti lebih mantap.

Anda boleh melihat keseluruhan produk gaming IKEA x ASUS ROG di pautan ini.

Apakah pendapat anda sekiranya produk-produk ini hadir di pasaran Malaysia? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: IKEA China melalui Mashable SEA

Exit mobile version