Site icon TechNave BM

Illegear Orion dilancar di Malaysia: Meja komputer boleh laras dan tahan sehingga 100kg berharga RM2,999

Pada hari ini, jenama perkakasan gaming tempatan Illegear telah memperkenalkan sebuah meja khas untuk komputer iaitu Illegear Orion. Meja ini mempunyai ketinggian yang boleh dilaras secara automatik serta mampu menampung berat sehingga 100kg.

Sewaktu anda ingin melaraskan ketinggian meja ini, ia mempunyai motor yang boleh menggerakkannya secara automatik kepada paras serendah 60cm hingga setinggi 124cm. Ketinggiannya boleh dilaraskan dengan kekunci khas yang berada di bahagian bawah meja, dan ia juga akan berhenti secara automatik jika ia mengesan sesuatu objek yang menghalang gerakan meja.

Meja Illegear Orion
Hiasan RGB di sekelilingnya
Kekunci khas untuk mengawal paras ketinggian dan cahaya RGB
Ruang pengurusan kabel di belakang

Meja ini mempunyai ukuran panjang 815mm dan lebar 1,500mm. Ia turut mempunyai sistem pencahayaan RGB yang boleh dilaras menggunakan kekunci khas yang disebut tadi. Kekunci tersebut menyerupai kekunci yang terdapat pada papan kekunci gaming dan ia boleh diganti.

Di belakang, ia mempunyai penutup khas yang boleh melindungi pelbagai kabel komputer, beberapa palam kuasa serta barisan magnet untuk melekatkan objek besi. Illegear telah melakukan beberapa ujian ketahanan bagi memastikan kualiti tinggi untuk meja ini dan akan melancarkan beberapa aksesori tambahan pada masa hadapan, seperti pengikat kabel magnetik (magnetic cable anchor) dan banyak lagi.

Harga Illegear Orion dan ciri-cirinya

Illegear Orion akan dijual pada harga RM2,999. Jika anda berminat untuk melihatnya terlebih dahulu, ia akan ditunjukkan dalam kedai-kedai Illegear. Anda boleh membelinya di laman web Illegear bermula hari ini, atau Lazada dan Shopee pada masa akan datang.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version