Site icon TechNave BM

Imej CAD Samsung Galaxy A41 timbul di internet, menampakkan tiga kamera di belakang

Pada Disember lalu, Samsung telah melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan, Galaxy A51 dan Galaxy A71. Kini, syarikat elektronik itu sedang bersiap untuk melancarkan telefon baru dalam siri A iaitu Galaxy A41. Menurut pembocor berita OnLeaks, imej janaan CAD untuk Galaxy A41 sudah pun wujud dan beliau memuat naik imej tersebut ke internet.

Daripada maklumat tersebut, Galaxy A41 akan dilengkapi skrin 6 inci dengan notch Infinity-U di bahagian atas. Sempadan bezel di bahagian bawah skrin nampaknya agak tebal sedikit berbanding di atas. Ukuran telefon itu adalah 150 x 70 x 7.9mm.

Kameranya pula mirip siri Galaxy S20. Ia mempunyai tiga kanta dan disusun dalam corak petak bersama lampu kilat LED di bahagian atas kiri. Menurut OnLeaks, ia dilengkapi kanta utama 48 megapiksel.

Tidak seperti model sebelumnya, Galaxy A40, ia tidak dilengkapi pengimbas cap jari di bahagian belakang. Ini menunjukkan bahawa Galaxy A41 mungkin akan mempunyai pengimbas cap jari di bawah skrin. Daripada segi port pula, ia dilengkapi bicu audio 3.5mm dan penghubung USB-C.

Adakah anda berminat untuk mendapatkan Galaxy A41 pada masa akan datang? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PriceBaba

Exit mobile version