Site icon TechNave BM

Imej janaan Samsung Galaxy S21 FE muncul dalam talian!

Samsung dikhabarkan akan mengadakan acara pelancaran pada 19 Ogos ini dimana mereka akan memperkenalkan Galaxy Z Fold3, Galaxy Z Flip3 dan Galaxy S21 FE. Terbaru, imej janaan untuk Galaxy S21 FE telah muncul dalam talian yang menunjukkan rekaan depan dan belakangnya.

Jika dilihat kepada imej janaan tersebut, Galaxy S21 FE bakal ditawarkan dengan empat warna berbeza iaitu hitam, putih, hijau zaitun dan ungu. Sumber menyatakan Galaxy S21 FE akan mempunyai persamaan dengan Galaxy S21 Ultra. Ia mungkin merujuk kepada sokongan stilus S Pen.

Galaxy S21 Fan Edition (FE) juga mungkin hadir dengan panel belakang plastik sama seperti Galaxy S21. Ia juga dilihat masih mengekalkan tiga kamera pada bahagian belakang. Manakala bahagian depan pula hadir dengan bezel yang nipis serta potongan punch-hole di tengah skrin.

Untuk spesifikasi, Galaxy S21 FE dikhabarkan akan hadir dengan skrin 6.5 inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Selain itu, ia akan dilengkapi kamera swafoto 32MP, kamera utama 12MP OIS, kamera ultra lebar 12MP dan kamera telefoto 8MP atau 12MP.

Peranti ini dikatakan akan menggunakan cipset Snapdragon 888 dengan pilihan RAM serendah 6GB. Ia juga akan dilengkapi bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W. Yang menarik, ia mungkin akan menyokong pengecasan wayarles dan pengecasan wayarles berbalik.

Adakah anda menantikan Samsung Galaxy S21 FE? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version