Site icon TechNave BM

Imej siri Infinix Note baharu didedah: Reka bentuk, tri-kamera 108MP dan banyak lagi

Pada minggu lalu, Infinix mengumumkan trio peranti baharu termasuk Infinix Note 12. Kini, seorang penyampai maklumat yang tidak diketahui namanya mendedahkan imej model baharu bersama beberapa maklumat.

Menurut GSMArena, sumber memberitahu bahawa ini adalah sebahagian daripada siri Note dan akan menjadi tawaran yang lebih tinggi daripada model Note 12 (mungkin sekuel kepada Infinix Note 11 Pro).

Label 108 MP di bahagian belakang peranti merupakan antara peningkatan ketara berbanding sensor 50 MP 1/2.8 inci dalam Note 12. Selain itu, terdapat kamera tambahan dengan “12-24 mm” yang mungkin merupakan sensor ultra lebar (model Note 12 hanya mendapat tambahan sensor kedalaman 2MP). Sebelum ini, Infinix menggunakan sensor 108MP pada Zero X Pro (ISOCELL HM2).

Pemberi maklumat turut mengatakan bahawa model Note ini mungkin dikuasakan oleh cipset Helio G96. Jika dibandingkan dengan model G88 yang terdapat dalam model standard, ia menghasilkan teras CPU yang lebih pantas, unit GPU yang serupa iaitu Mali-G57 MC2 dan menyokong sensor 108MP.

Pada tahun lepas, pihak GSMArena telah menguji telefon konsep Infinix yang menyokong pengecasan pantas 160W. Walau bagaimanapun, masih tiada pengeluaran Infinix yang melebihi 100W dan mungkin ini akan berubah pada model Note baharu.

Infinix mungkin telah menguji pengecasan pantas 120W untuk model ini. Kapasiti bateri atau masa pengecasan 0-100% masih tidak diketahui tetapi ia akan menjadi lebih cepat berbanding Note 12 biasa yang mempunyai bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 33W.

Kami menjangkakan peranti akan dilancarkan tidak lama lagi walaupun masih belum ada maklumat mengenai tarikh pelancarannya. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber:  GSMArena

Exit mobile version