Site icon TechNave BM

Imigresen Malaysia sahkan kes serangan siber tidak melibatkan kebocoran maklumat

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan bahawa laman web rasmi Jabatan itu telah diserang pada jam 2 pagi semalam oleh penyerang yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘CaptainSmok3r’. Serangan cyber ini berbentuk defacement dan telah mengakibatkan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej yang lain.

Walau bagaimanapun, capaian-capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden ini. JIM telah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web daripada akses orang ramai dan melakukan kerja-kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web.

Bahagian Teknologi Maklumat Jabatan ini telah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama pihak National Cyber Security Agency (NACSA) dan CyberSecurity bagi membantu JIM untuk tindakan pengukuhan laman web. Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat.

Jabatan ini menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: JIM

Exit mobile version