Site icon TechNave BM

Infinix HOT 40i dilancar: Skrin 90Hz, bateri 5,000mAh, kamera 50MP bermula ~RM580

Infinix telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan yang terbaru di India iaitu Infinix HOT 40i. Telefon ini dilengkapi spesifikasi yang boleh dijangka untuk telefon kelas permulaan pada waktu ini, seperti skrin LCD berukuran 6.6 inci dengan resolusi HD+ (720×1612) dan kadar segar semula 90Hz.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Unisoc T606, RAM 8GB yang boleh dibesarkan lagi dengan RAM maya sebanyak 8GB, storan dalaman 256GB yang boleh dibesarkan dengan kad memori microSD dan bateri 5,000mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 18W. Ia menggunakan sistem operasi Android 13 dengan antara muka XOS 13 dan setakat ini masih tidak diketahui jika ia akan menerima kemas kini Android 14.

Rekaan luarannya pula mempunyai pengimbas cap jadi di bahagian sisi, rating kalis air IP53 dan dulang dwi-kad SIM yang turut menyediakan slot untuk kad memori microSD. Pilihan warnanya terdiri daripada kuning, hitam, biru dan hijau.

Spesifikasi Infinix HOT 40i
Rekaan luaran Infinix HOT 40i
Pilihan warna

Modul kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.6, lensa kedua “AI Lens” yang tidak diketahui fungsinya, serta kamera hadapan 32MP f/2.2.

Infinix HOT 40i akan dijual pada harga INR9,999 (~RM580) di India dan setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Jika anda berminat dengan telefon yang serupa, Infinix HOT 40 Pro akan dilancar untuk pasaran Malaysia pada hari esok (19 Februari).

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version