Site icon TechNave BM

Infinix HOT 50 Pro+ dilancar: AMOLED 120Hz, Helio G100, cas pantas 33W

Selepas melancarkan Infinix HOT 50 5G untuk pasaran Malaysia pada awal bulan ini, kini syarikat teknologi itu melancarkan sebuah lagi varian iaitu Infinix HOT 50 Pro+. Dengan ketebalan 6.8mm sahaja, Infinix mengatakan ia merupakan telefon rekaan 3D-Curved SlimEdge yang ternipis dalam dunia.

Ia akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, kelabu dan ungu. Rekaannya mempunyai rating kalis air IP54 dan terdapat pembesar suara stereo yang ditala (tuned) oleh JBL.

Ciri menarik pada telefon ini adalah skrinnya yang menggunakan panel AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass. Skrin ini turut mempunyai sebuah pengimbas cap jari di bahagian bawah, dan boleh digunakan walaupun dengan jari yang basah atau berminyak.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Helio G100, RAM 8GB, storan dalaman 256GB yang boleh dibesarkan dengan kad memori microSD, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 33W.

Buat masa ini, harga Infinix HOT 50 Pro+ untuk mana-mana negara masih belum diketahui. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version