Site icon TechNave BM

Infinix Hot 60 Pro+ raih rekod dunia untuk telefon dengan skrin 3D melengkung ternipis

Infinix Hot 60 Pro+ kini mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai telefon pintar dengan paparan 3D melengkung paling nipis di dunia oleh Guinness World Records. Pengiktirafan itu diumumkan semasa majlis pelancaran di Candi Borobudur, Indonesia dengan kehadiran juri daripada Guinness.

Untuk memastikan ketepatan, Infinix bekerjasama dengan makmal bertauliah ILAC yang menjalankan pengukuran laser di beberapa bahagian. Hasilnya, Hot 60 Pro+ disahkan hanya 5.95mm pada bahagian paling nipis dan 6.09mm pada bahagian paling tebal. Ini merupakan angka rasmi yang digunakan Guinness.

Walaupun tampil dengan rekaan ultra-nipis, Hot 60 Pro+ tetap hadir dengan spesifikasi mantap. Ia dipacu cip MediaTek Helio G200, menggunakan skrin AMOLED 6.78 inci melengkung beresolusi 1,224 piksel dengan kadar segar semula 144Hz dan kamera utama 50MP.

Turut disertakan pengimbas cap jari pada skrin, penarafan IP65, bateri 5,160mAh dengan pengecasan pantas 45W dan pengecasan berbalik 10W serta berat hanya 155 gram. Ditawarkan pada harga yang mesra bajet, Hot 60 Pro+ bukan sekadar telefon mampu milik, malah kini memegang rekod dunia Guinness sebagai peranti dengan paparan 3D melengkung paling nipis.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PR Newswire

Exit mobile version