Site icon TechNave BM

Infinix Hot 60i 5G dilancar: Dimensity 6400, bateri 6,000mAh, skrin 120Hz bermula ~RM450

Selepas melancarkan Infinix Hot 60i pada bulan Julai lalu, kini Infinix melancarkan sebuah varian baharu yang menyokong rangkaian 5G iaitu Infinix Hot 60i 5G. Selain sokongan untuk rangkaian telekomunikasi yang lebih laju, ia turut mempunyai beberapa perbezaan ketara pada spesifikasinya.

Hot 60i 5G dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 6400 yang dibuat dengan nod proses 6nm, berbeza dengan Hot 60i asal yang dilengkapi cipset MediaTek Helio G81 Ultimate yang dibuat dengan nod proses 12nm. Ini membuatkan Hot 60i 5G mempunyai prestasi yang lebih pantas berbanding Hot 60i 4G.

Skrinnya pula berukuran 6.75 inci dengan panel LCD, resolusi HD+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 670 nits. Sistem operasinya menggunakan XOS 15.1 berdasarkan Android 15.

Untuk memori, ia mempunyai RAM 4GB dan storan dalaman 128GB yang boleh dibesarkan dengan kad memori microSD sehingga 2TB.

Baterinya pula berkapasiti 6,000mAh yang lebih besar berbanding 5,160mAh pada Hot 60i 4G. Walau bagaimanapun, kadar pengecasan pada Hot 60i 5G adalah sekadar 18W sahaja, jauh lebih rendah berbanding 45W pada Hot 60i 4G.

Untuk kamera, ia mempunyai dua kamera di belakang di mana salah satu daripadanya ialah kamera utama 50MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 5MP.

Ia akan ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu biru, hitam, hijau dan merah. Badannya mempunyai rating kalis air IP64 dan pengimbas cap jari di bahagian sisi.

Setakat ini, Infinix Hot 60i 5G hanya ditawarkan untuk pasaran India sahaja pada harga bermula INR9,299 (~RM450) untuk varian 4GB+128GB. Masih tidak diketahui jika telefon ini akan dilancar untuk pasaran Malaysia. Memandangkan Hot 60i 4G telah dilancar untuk pasaran Malaysia pada bulan lalu, besar kemungkinan Hot 60i 5G akan turut dilancar di sini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Infinix India

Exit mobile version