Site icon TechNave BM

Infinix Hot 70 tiba dengan rekaan “Thermo Paint”, bateri 6,000mAh dan skrin 120Hz

Infinix akhirnya memperkenalkan siri baharu Infinix Hot 70 selepas beberapa minggu tertiris. Buat masa ini, pelancaran hanya melibatkan model standard Hot 70 manakala versi Pro, Pro+ dan beberapa varian lain dijangka diperkenalkan kemudian. Antara tarikan utama Infinix Hot 70 ialah rekaan baharu Thermo Orange yang mampu berubah warna mengikut suhu persekitaran.

Menurut Infinix, panel belakang telefon akan memaparkan tona lebih gelap dikenali sebagai Quiet Orange ketika sejuk sebelum berubah menjadi warna lebih terang yang dipanggil Playful Orange apabila suhu meningkat. Selain Thermo Orange, peranti itu turut ditawarkan dalam pilihan warna Green Texture, Quiet Violet, Dive Blue, Silver Dancer dan Night Pulse.

Untuk rekaan, Hot 70 hadir dengan badan setebal 7.49mm dan berat sekitar 195 gram. Peranti dikuasakan cip MediaTek Helio G100 Ultimate yang sama digunakan pada siri Infinix Note 50 Pro dan Note 50 Pro+ sebelum ini. Ia ditawarkan dalam beberapa varian seperti 6/128GB, 8/128GB, 6/256GB dan 8/256GB.

Hot 70 menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 720 x 1576 piksel dan kadar segar semula 120Hz. Baterinya pula berkapasiti 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W melalui kabel. Selain itu, fungsi pengecasan berbalik 10W juga disediakan bagi membolehkan telefon digunakan untuk mengecas peranti lain.

Hot 70 dilengkapi kamera utama 50MP f/1.9 bersama satu lagi sensor tambahan yang tidak diperincikan oleh Infinix serta kamera swafoto 8MP f/2.0. Telefon ini menjalankan Android 16 dengan antaramuka XOS 16 dan terdapat butang fizikal khas yang boleh diprogramkan untuk membuka aplikasi atau fungsi tertentu dengan pantas.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version