Infinix Note 30 VIP telah dilancarkan dan dilengkapi All-Round Fast Charging 68W serta pengecasan wayarles 50W untuk bateri berkapasiti 5,000mAh. Pengecasan wayarles boleh mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit manakala untuk pengecasan berwayar ia boleh mengecas 1% hingga 80% untuk tempoh yang sama.
Note 30 VIP menyokong pengecasan pintasan apabila bateri mencapai 30% dengan arus pengecasan boleh memintas bateri dan terus ke papan induk. Ia akan mengurangkan kepanasan semasa mengecas dan bermain game pada masa yang sama. Infinix berkata ciri itu boleh mengurangkan suhu sebanyak 7°.
Note 30 VIP memiliki ruang wap penyejuk cecair 2890mm² terbina dalam. Baterinya dinilai untuk mengekalkan 80% kapasitinya selepas 1,000 kitaran pengecasan. Peranti ini mempunyai paparan AMOLED 6.67 inci beresolusi 1080×2400 piksel dengan kadar penyegaran 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 360Hz dan kecerahan puncak 900 nit.
Cipset yang digunakan ialah MediaTek Dimensity 8050 6nm yang dipadankan dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Infinix Note 30 VIP dilengkapi kamera utama 108MP dan dua sensor 2MP serta kamera swafoto 32MP. Spesifikasi lain termasuk dwi pembesar suara yang ditala JBL, motor getaran Z-Axis dan perlindungan IP53 terhadap habuk dan percikan air.
Infinix Note 30 VIP tersedia dalam warna Magic Black dan Glacier Blue pada harga $299 (~RM1,382). Namun, Infinix Malaysia masih belum memberi kenyataan rasmi tentang ketersediaannya dalam pasaran tempatan.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

