Selepas memperkenalkan siri Infinix Note 50 di Indonesia pada awal bulan ini, Infinix akan melancarkan sebuah lagi varian baharu iaitu Infinix Note 50 Pro+ 5G. Ia bakal dilancar sewaktu acara Infinix AI∞ Beta yang akan berlangsung pada 20 Mac 2025.
Infinix masih belum mendedahkan spesifikasi dalaman telefon ini, namun beberapa gambar rekaannya telah tertiris dalam internet. Ia mempunyai rangka besi dan badan yang dibuat daripada besi, di mana butang kuasa berada di bahagian kanan manakala butang volume berada di bahagian kiri.
Di bawah, ia menempatkan port USB-C, ruang kad SIM, mikrofon dan pembesar suara, manakala di atas pula menempatkan mikrofon kedua, pemancar infra-merah dan satu lagi pembesar suara. Terdapat teks “Sound by JBL” yang menunjukkan talaan bunyi oleh JBL.
Di belakang, bonggol kameranya mempunyai rekaan bersegi oktagonal dan menempatkan kamera utama 50MP, yang turut mempunyai penstabilan imej optikal dan zum digital 100x.
Satu ciri menarik untuk telefon ini adalah ia bakal mempunyai fungsi One-Tap Infinix AI∞, namun butiran lanjut mengenai fungsi ini masih belum diketahui.
Selain telefon di atas, Infinix bakal memperkenalkan dua peranti boleh pakai baharu iaitu cincin Infinix AI Ring dan fon telinga Infinix AI Buds. Cincin ini mempunyai fungsi jejakan tidur, kadar degupan jantung dan tahap oksigen darah.
Sementara itu, fon telinga AI Buds mempunyai pembatalan hingar yang cemerlang, serta menyokong fungsi penterjemahan bahasa. Bekas pengecasnya mempunyai rekaan lutsinar dan skrin sentuh yang boleh mengawal tetapan, menunjukkan waktu serta mengambil gambar daripada kamera telefon yang dihubungkan dengan fon telinga ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana peranti di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

