Site icon TechNave BM

Infinix Note Edge dilancar dengan Dimensity 7100 dan skrin 6.78″ 120Hz berharga ~RM811

Infinix secara rasmi memperkenalkan Infinix Note Edge iaitu sebuah telefon pintar yang menekankan rekaan nipis dan spesifikasi kelas pertengahan premium. Peranti ini hadir dengan ketebalan hanya 7.2mm dan berat 185 gram serta dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 7100, dipadankan dengan RAM sehingga 8GB.

Bahagian hadapan menampilkan skrin melengkung 6.78 inci beresolusi 1.5K, kadar segar semula 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 2,800Hz, bezel simetri ultra nipis 1.87mm dan kecerahan puncak sehingga 4,500 nit. Skrinnya turut dilindungi Gorilla Glass 7i selain sokongan pembesar suara stereo JBL.

Infinix Note Edge ditawarkan dengan bateri sama ada 6,500mAh atau 6,150mAh, bergantung kepada pasaran. Baterinya mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 80% kapasiti asal selepas 2,000 kitaran pengecasan bersamaan sekitar enam tahun penggunaan. Ia menyokong pengecasan pantas 45W dengan masa pengecasan penuh dari 1% ke 100% sekitar 62 minit.

Telefon ini menjalankan XOS 16 berasaskan Android 16 yang menjanjikan tiga kemas kini Android utama dan lima tahun kemas kini keselamatan. Infinix Note Edge dilengkapi kamera utama 50MP menggunakan sensor bersaiz 1/2 inci. Sebuah butang sisi boleh disesuaikan turut disertakan untuk akses pantas kepada pembantu AI Folax.

Sumber: Lowyat.Net

Ciri lain termasuk pensijilan IP65 untuk rintangan habuk dan percikan air. Infinix Note Edge ditawarkan pada harga bermula USD200 (~RM811) dengan pilihan warna Lunar Titanium, Silk Green, Stellar Blue dan Shadow Black. Varian Silk Green hadir dengan kemasan poliuretana bertekstur ombak air manakala warna lain menggunakan bahan komposit berkemasan matte premium dengan kesan visual berubah mengikut cahaya.

Setakat ini, Infinix masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi di Malaysia, namun peranti tersebut telah dikesan tersenarai dalam pangkalan data SIRIM yang menandakan pelancarannya di pasaran tempatan berkemungkinan akan berlangsung dalam masa terdekat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Infinix Note Edge dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version