Site icon TechNave BM

Infinix tawarkan Google AI Plus secara percuma selama 3 bulan untuk peranti terpilih

Infinix mengumumkan tawaran langganan Google AI Plus (2TB) percuma selama tiga bulan kepada pengguna peranti terpilih yang membolehkan akses kepada pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) Google tanpa kos tambahan. Tawaran ini tersedia untuk beberapa model termasuk siri NOTE 60, GT 50 Pro, NOTE Edge, siri HOT 70 dan SMART 20.

Selain akses kepada Gemini, pengguna juga menerima storan awan Google berkapasiti 2TB yang boleh digunakan merentasi Google Drive, Gmail dan Google Photos. Melalui pelan Google AI Plus, pengguna boleh memanfaatkan pelbagai ciri AI termasuk Gemini dalam Gmail yang membantu menghasilkan dan menyemak e-mel dengan lebih pantas.

Turut disertakan ialah sokongan penjanaan imej AI melalui Nano Banana 2 yang membolehkan pengguna menghasilkan visual daripada arahan teks, mengubah gaya berdasarkan gambar rujukan serta mencipta logo, poster dan kad jemputan. Bagi tujuan pembelajaran, Gemini menawarkan pelan pembelajaran yang diperibadikan, kuiz interaktif dan penjelasan multimodal.

Pada masa sama, NotebookLM turut menerima kapasiti yang lebih besar untuk Audio Overview, notebook dan sumber rujukan. Menurut Infinix, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk memperluaskan akses kepada teknologi AI kepada lebih ramai pengguna. Pengguna yang layak boleh mengaktifkan langganan percubaan tersebut terus melalui aplikasi Gemini atau Google One dengan mengikuti arahan yang dipaparkan pada peranti masing-masing.

Tempoh percubaan bermula dari tarikh pengaktifan dan berlangsung selama tiga bulan. Selepas tempoh tersebut tamat, pengguna akan dikenakan bayaran langganan bulanan Google AI Plus mengikut kadar yang ditetapkan di negara masing-masing, melainkan langganan dibatalkan sebelum tempoh percubaan berakhir.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version