Site icon TechNave BM

Infinix umumkan teknologi pengecasan pantas 260W, boleh cas telefon 25% dalam masa 1 minit

Syarikat telefon pintar Infinix memperkenalkan teknologi pengecasan pantas baharu untuk telefon pintar iaitu 260W All-Round FastCharge dan 110W Wireless All-Round FastCharge, lantas membuka lambaran baru dalam teknologi pengecasan telefon.

Infinix mengatakan teknologi pengecasan 260W ini boleh mengecas bateri telefon sebanyak 25 peratus dalam masa seminit sahaja, manakala pengecasan penuh memerlukan masa 7.5 minit.

Pengecasan ini menggunakan seni bina Rekaan Litar Pintar 4 Pam (4-Pump Intelligent Circuit Design) yang boleh menilai tenaga yang diperlukan secara autamatik dan menentukan jumlah pam arus elektrik yang diperlukan. Pengecasnya dibuat dengan bahan galium nitrida (GaN) PFC dan seni bina litar AHB yang mempunyai bentuk kecil dan membenarkan kadar pengecasan tinggi.

Ia berfungsi dengan bateri 4,400mAh berkadar tinggi 12C dan mempunyai struktur multi-electrode lug, yang membenarkan kadar penukaran tenaga sebanyak 98.5 peratus. Baterinya masih mengekalkan kapasiti sebanyak 90 peratus walaupun selepas dicas sebanyak 1,000 kali.

Kabel yang digunakan pula mempunyai cip Emarker yang boleh membawa arus elektrik setinggi 13A untuk memberikan kadar pengecasan 260W.

Di samping itu, pengecasan pantas wayarles 110W pula boleh mengecas penuh bateri telefon pintar dalam masa 16 minit sahaja. Pengecas ini mempunyai dwi-lingkaran besi khas oleh Infinix yang boleh mengecas secara menegak atau mendatar. Pengecas 110W ini turut mempunyai kipas dalaman untuk mengalirkan haba dengan lebih cekap.

Selain menawarkan kadar pengecasan pantas, Infinix turut mengumumkan sistem All-Round FastCharge yang menyediakan teknologi pengecasan secara menyeluruh, pantas dan selamat. Ia terdiri daripada pengecasan berwayar, pengecasan wayarles, pengecasan berbalik, pengecasan pintasan (bypass) dan pengecasan multi-protokol.

Infinix masih belum mengumumkan telefon yang dilengkapi teknologi pengecasan di atas, namun mereka mengatakan ia bakal ditawarkan dalam siri telefon Infinix NOTE yang akan datang.

Pengumuman oleh Infinix ini datang hanya beberapa minggu selepas realme melancarkan telefon pintar realme GT3 yang menyokong kadar pengecasan pantas 240W.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version