Infinix mengumumkan bakal memperkenalkan XPAD 20 Pro di Malaysia pada 16 September 2025. Model ini hadir selepas kejayaan XPAD 20 yang dilancarkan pada Julai lalu dan menawarkan peningkatan daripada segi prestasi, ciri pintar dan rekaan lebih nipis.
XPAD 20 Pro dilengkapi skrin 12 inci 2K dengan kadar segar semula 90Hz yang menyokong pensijilan dwi TÜV Rheinland untuk perlindungan mata. Ia dipacu cip MediaTek Helio G100 Ultimate 6nm dengan sokongan rangkaian 4G digandingkan bersama RAM sehingga 16GB dan storan dalaman 256GB.
XPAD 20 Pro membawa set ciri Infinix AI seperti AI Writing, AI Art, pengecaman pintar skrin serta pembantu suara Folax. Bagi produktiviti, ia menyokong kerjasama berbilang peranti yang membolehkan pengguna memaparkan, berkongsi dan bertukar fungsi antara telefon pintar serta tablet dengan lebih lancar.
Rekaan tablet menampilkan badan logam ultra-nipis 6.58mm dan empat pembesar suara berteknologi DTS yang menghasilkan bunyi 360 darjah. Baterinya berkapasiti 8,000mAh dengan pengecasan pantas 18W. Maklumat lanjut mengenai tablet ini, termasuk harga dan ketersediaan, dijangka dikongsikan pada tarikh pelancaran rasmi.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

